Mikroekonomi: Mustazar, Mariani, Zulkefly, Doris Padmini S., Fathin, Lai, Norshamliza, Nafisah, Riayati, Azmafazilah, Mohd Azlan, Mohd Adib dan Hazrul (2022)
Mikroekonomi: Mustazar, Mariani, Zulkefly, Doris Padmini S., Fathin, Lai, Norshamliza, Nafisah, Riayati, Azmafazilah, Mohd Azlan, Mohd Adib dan Hazrul (2022)

Buku Mikroekonomi ini telah ditulis dan disusun secara khusus bagi membantu para pelajar Tingkatan 6, Asasi, Diploma, IPT dan IPTS agar dapat mengenali dan memahami konsep asas Mikroekonomi. Mikroekonomi menumpukan kajian dalam tingkah laku setiap unit yang terdapat dalam ekonomi iaitu pengguna, pekerja, pengeluar, kerajaan atau mana-mana individu yang memainkan peranan dalam operasi ekonomi masyarakat. Mikroekonomi juga mengkaji bagaimana pengguna dan pengeluar membuat keputusan secara individu serta menganalisis interaksi antara keputusan individu yang banyak memberi kesan kepada pasaran dan keseluruhan ekonomi.

Buku ini merangkumi konsep asas Mikroekonomi berserta contoh semasa yang dibangunkan hasil daripada dapatan penyelidikan oleh pengarang. Buku ini juga menerangkan pendekatan yang seimbang terhadap teori dan aplikasi ekonomi. Terdapat 12 bab yang disusun dalam buku ini iaitu pengenalan, permintaan dan penawaran, penggunaan model permintaan dan penawaran, pilihan pengguna, penggunaan teori pengguna, firma dan pengeluaran, kos, pasaran persaingan sempurna, aplikasi model persaingan, monopoli, oligopoli dan monopolistik serta amalan perletakan harga.

Seramai 13 orang pensyarah daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan telah terlibat dalam penghasilan buku Mikroekonomi ini. Kesemua pensyarah ini terdiri daripada pensyarah yang berpengalaman dan berketrampilan dalam bidang ekonomi.

ISBN 978-967-2711-02-5 – Contents in 4-colour

About the Authors

Mustazar Mansur

Mustazar Mansur, PhD adalah Prof Madya di Pusat Pembangunan Insklusif dan Lestari (SID), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau kini memegang jawatan sebagai Penolong Dekan bagi Siswa dan Alumni di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM. Beliau juga mempunyai kelayakan akademik Doktor Falsafah Ekonomi Industri (2015) dan Ijazah Sarjana Ekonomi Industri (2002) dari Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi & Perakaunan (1999) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kepakaran bidang penyelidikan beliau adalah dalam bidang ekonomi industri dan analisis mikroekonomi. Bukan itu sahaja, beliau juga aktif mengajar dalam kursus mikroekonomi, makroekonomi, asas perakaunan, pengurusan kewangan, perkembangan pemikiran ekonomi, ekonomi industri serta kerajaan dan pembangunan industri. Tambahan lagi, beliau juga mempunyai pengalaman dalam perundingan seperti ‘Kajian Program Menangani Kos Sara Hidup’ bersama dengan MOF Putrajaya, ‘Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama: Bumiputera Supply Chain’ bersama dengan EPU-Institut Masa serta ‘Kajian Impak Pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah’ bersama dengan Lembaga Getah Malaysia. Sebahagian besar hasil penyelidikan beliau telah diterbitkan dalam jurnal seperti ‘Potensi Kebolehpasaran Bakal Graduan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (2021)’, ‘Kos Sara Hidup Tinggi di Malaysia: Pertumbuhan Pendapatan Isi Rumah yang Perlahan atau Taraf Hidup yang Meningkat? (2018)’ dan ‘Struktur Pasaran, Gelagat Firma dan Produktiviti: Kajian Empirik Firma Insurans Am di Malaysia (2017)’.

Mariani Abdul-Majid
Mariani Abdul-Majid, PhD, adalah Profesor Madya di Pusat Pembangunan Inklusif dan Mampan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau menerima kedua-dua ijazah sarjana muda ekonomi dan sarjana ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan PhD dari Aston University, United Kingdom. Bukan itu sahaja, beliau juga mempunyai pengalaman penyelidikan dan pengajaran dalam bidang mikroekonomi, perbankan dan kewangan Islam, dan ekonomi kewangan. Bahkan, penerbitan kertas beliau juga terdapat dalam jurnal-jurnal akademik yang berwasit seperti Journal of Productivity Analysis, Pacific-Basin Finance Journal, Applied Economics, dan Services Industries Journal. Beliau juga mempunyai kertas yang diterbitkan sebagai bab di dalam buku.
Zulkefly Abdul Karim
Zulkefly Abdul Karim, PhD, adalah Profesor (Dr.) di Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari (SID), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau kini adalah Timbalan Pengarah, Pusat IDEA-UKM (IDEA-UKM). Bukan itu sahaja, beliau juga telah memegang beberapa jawatan pentadbiran sebelum ini seperti Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Leastari (SID), Ketua Editor Jurnal Ekonomi Malaysia, dan Ketua Program. Penyelidikan beliau meliputi bidang ekonomi monetari dan kewangan, ekonometrik gunaan dalam analisis siri masa dan data panel, analisis pasaran modal, ekonomi sektor awam, perbankan, dan ekonomi antarabangsa. Sebahagian besar hasil penyelidikan beliau telah diterbitkan dalam makalah jurnal di peringkat antarabangsa dan dalam negara. Beliau juga aktif membentangkan hasil penyelidikan di persidangan dalam dan luar negara di samping sering diundang sebagai penceramah di bengkel penulisan artikel jurnal dan analisis ekonometrik siri masa dan data panel yang dianjurkan oleh institusi dalam dan luar negara.
Doris Padmini Selvaratnam
Doris Padmini Selvaratnam, (Ph.D Sosiologi) merupakan Profesor Madya dan pakar pembangunan komuniti di Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari (SID), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan. Beliau adalah mantan Ketua Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebelum itu, beliau merupakan Penyelaras Kursus di Centre for Entrepreneurship and SMEs Development (UKMCESMED), Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga menjalankan kursus berkaitan usahaniaga lanjutan, keusahawanan sosial, aspek ekonomi wanita dalam kesihatan, ekonomi dasar sosial serta aspek ekonomi dan politik dalam pembangunan. Bukan itu sahaja, beliau juga menulis buku dan artikel jurnal tentang perniagaan digital dalam kalangan warga emas, kesukarelawanan, Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan komuniti Penan di Sarawak. Beliau menggunakan bahan kajiannya sebagai alat bantu mengajar kuliah dan mengatur banyak aktiviti penyelidikan masyarakat yang melibatkan pelbagai pihak, komuniti setempat, pelajar, NGO dan pemerintah tempatan. Pembelajaran pengalaman dalam komuniti ditekankan dalam semua kursus untuk menonjolkan unsur kesetaraan jantina, kuasa tawar-menawar politik, dan kesukarelaan dalam pembangunan masyarakat, pembelajaran dari masyarakat dan juga kekayaan pengetahuan yang diperoleh melalui proses dialog dan penglibatan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan. Beliau telah menjalankan kursus ekonomi ASEAN untuk perwakilan Indonesia; serta kursus Penilaian dan Metodologi untuk penyelidik muda Asia dan Eropah di Perancis, Salzburg dan Vietnam yang ditaja oleh Coordination Council for International Voluntary Services (CCIVS); dan kursus Pengurangan Kemiskinan untuk pegawai kanan kerajaan Bangladesh. Beliau juga telah menjalankan kursus yang bertajuk Menyemai Ciri dan Kompetensi Keusahawanan dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kerja perundingannya berkaitan dengan penilaian impak sosial di wilayah Iskandar Malaysia, kajian impak di ECER Pahang dan Johor; dan Kajian Penentu Kos Hidup untuk Malaysia, Kajian Kos Hidup dan Sosioekonomi dan Kualiti Hidup B40 di Malaysia, pelaksanaan Pelan Strategik Johor di peringkat daerah, penilaian Pelan Induk ECER dan Pembangunan HCD, Profil Sosioekonomi B40 di Enam Daerah di ECER, Penilaian Pelaksanaan MyFarm Outlet dan Peningkatan Sosioekonomi dan Kualiti Hidup Komuniti Orang Asli Malaysia di Kg Kachau Luar, Pos Gob dan Pos Legap. Setelah menyelesaikan Pelan Strategik Pulau Bebas Cukai Pangkor di bawah PwC untuk NCIA, beliau kini membuat Kertas Dasar AsliStay Orang Asli untuk JAKOA, penilaian untuk Pelan Induk Perindustrian Baru di bawah MiGHT untuk MITI. Program kemasyarakatannya kini dibiayai oleh CWM Group Sdn. Bhd. untuk pelbagai perkampungan Orang Asli untuk penyediaan keperluan asas, kursus pemasaran digital, program pendidikan dan tiang jalan cahaya solar.
Fathin Faizah Binti Said
Fathin Faizah Binti Said, adalah Profesor Madya di Pusat Pembangunan Inklusif dan Lestari (SID), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau merupakan Ketua Program Sarjana di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM. Bukan itu sahaja, beliau mempunyai kelayakan akademik Doktor Falsafah Ekonomi dari University of Essex, United Kingdom (2012), Ijazah Sarjana Ekonomi (2002) dan Sarjana Muda Ekonomi (2000) dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Kepakaran bidang penyelidikan beliau adalah dalam bidang ekonomi monetari, moden makroekonomi, rangkaian permodelan kewangan, ekonomi tenaga dan persekitaran.
Lai Wei Sieng
Lai Wei Sieng, PhD, adalah Pensyarah Kanan (Dr.) di Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari (SID), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah, Pusat Perhubungan Alumni UKM. Penyelidikan beliau meliputi bidang ekonomi pembangunan, ekonomi sumber manusia dan ekonomi perdagangan antarabangsa.
Norshamliza Chamhuri
Norshamliza Chamhuri, PhD, adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari (SID), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau telah mengajar banyak kursus ekonomi diperingkat prasiswazah dan pascasiswazah. Antara kursus yang beliau kendalikan adalah kursus Mikroekonomi, Pengurusan PerniagaanTani, Ekonomi Malaysia, Kaedah Penyelidikan, Analisis Dasar Pertanian dan Ekonomi Pengurusan dan Alam Sekitar. Tambahan lagi, penyelidikan beliau mengkhusus kepada bidang Tingkah Laku Pengguna, Pemasaran Perniagaan Berasaskan Pertanian, Pengurusan Alam Sekitar serta Peruncitan.
Nafisah Mohammed
Nafisah Mohammed, PhD, adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Perniagaan Global dan Ekonomi Digital (GLoBDE), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Penyelidikan beliau meliputi bidang ekonomi industri, pengurusan kewangan dan Mikroekonomi. Hasil penyelidikan beliau telah diterbitkan dalam makalah jurnal di peringkat antarabangsa dan dalam negara. Dalam bidang pengajaran pula, beliau mempunyai pengalaman mengajar subjek mikroekonomi, statistik dan ekonomi industri. Beliau juga terlibat dengan penyemakan kurikulum prasiswazah di peringkat fakulti.
Riayati Ahmad
Riayati Ahmad, PhD, adalah Pensyarah Kanan (Dr.) di Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari (SID), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang penyelidikan beliau meliputi bidang ekonomi fiskal, pembiayaan awam, ekonomi pembangunan islam dan ekonometrik gunaan dalam analisis siri masa dan data panel. Bukan itu sahaja, beliau juga aktif dalam membentangkan hasil penyelidikan di persidangan dalam dan luar negara. Dalam pengajaran pula, beliau aktif mengajar kursus Mikroekonomi I, Pembiayaan Awam dan Ekonomi Islam sama ada di peringkat prasiswazah mahupun siswazah.
Azmafazilah Binti Jauhari
Azmafazilah Binti Jauhari, MEc, adalah Pensyarah di Pusat Kajian Perniagaan Global dan Ekonomi Digital (GLoBDE), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Penyelidikan beliau meliputi ekonomi perdagangan antarabangsa, pelaburan langsung asing dan pertumbuhan inklusif. Hasil penyelidikan beliau telah diterbitkan dalam makalah jurnal di peringkat antarabangsa dan dalam negara. Dalam bidang pengajaran pula, beliau mempunyai pengalaman mengajar kursus mikroekonomi, makroekonomi, ekonomi perdagangan antarabangsa dan ekonomi kewangan antarabangsa. Beliau juga terlibat dengan penyemakan kurikulum prasiswazah di peringkat fakulti.
Mohd Azlan Shah Zaidi
Mohd Azlan Shah Zaidi, PhD, adalah Profesor Madya di Pusat Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau mendapat pendidikan Sarjana Muda di Universiti of Texas at Austin, USA (1995) dalam bidang ekonomi, Sarjana Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (1998) dan Ph.D (Ekonomi) di University of New South Wales, Australia (2011). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah di Pusat Pembangunan Akademik, Timbalan Dekan Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan serta Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM. Kini beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Eksekutif di Pusat Strategi, UKM. Bidang Penyelidikan beliau ialah Makroekonomi gunaan, dan Dasar Awam. Tambahan lagi, beliau juga aktif sebagai perunding dan pernah berkhidmat dengan agensi awam dan swasta yang antaranya meliputi Kementerian Kewangan Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi. Beliau telah menerbit lebih daripada 50 artikel dalam pelbagai jurnal termasuk jurnal terindeks WOS dan Scopus.
Mohd Adib Ismail
Mohd Adib Ismail, PhD, adalah seorang ahli ekonomi yang mempunyai latar belakang ekonomi dan pengajian Islam. Kini, beliau merupakan Profesor Madya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau menyertai universiti pada tahun 2004 sebagai tutor. Dengan adanya biasiswa UKM, beliau telah berjaya menamatkan pengajian kedoktoran dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2009 dalam bidang Ekonomi Kewangan. Dr. Adib memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang Syariah dan ekonomi dari Universiti Malaya manakala Sarjana Ekonomi dari UKM. Bidang penyelidikannya adalah dalam bidang ekonomi kewangan dengan penumpuan dalam kajian mengenai kekangan kewangan syarikat. Beliau turut mempunyai kepakaran dalam ekonometrik panel kerana menggunakan kaedah ini dalam kebanyakan penyelidikannya. Beliau juga mempunyai minat dalam ekonomi Islam dan perdagangan antarabangsa di mana beliau telah menerbitkan pelbagai makalah dan bab buku dalam bidang tersebut. Di UKM, beliau mengajar makroekonomi, mikroekonomi, ekonomi Islam dan fiqh. Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan editor Jurnal Ekonomi Malaysia dan International Journal of Islamic and Middle Eastern Finance and Management. Beliau juga turut menilai makalah dari pelbagai jurnal seperti Ecological Economics, Pengurusan Jurnal, Jurnal Muamalat dan Kajian Kewangan Islam (JMIFR) dan lain-lain.
Hazrul Izuan Shahiri
Hazrul Izuan Shahiri, PhD, adalah Profesor Madya (Dr.) di Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari (SID), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau kini memegang jawatan sebagai Ketua Program Prasiswazah Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bukan itu sahaja, beliau mempunyai 8 tahun pengalaman dalam mengajar kursus-kursus ekonomi peringkat prasiswazah dan juga peringkat siswazah seperti Mikroekonomi, Matematik untuk Ekonomi, Ekonomi Buruh dan Kalkulus. Tambahan pula, penyelidikan beliau meliputi bidang mikroekonomi gunaan menumpukan isu-isu di pasaran buruh seperti pengangguran, diskriminasi dan pekerja asing. Sebahagian besar hasil penyelidikan beliau telah diterbitkan dalam makalah jurnal di peringkat antarabangsa dan dalam negara.

Table of Contents

Bab 1 Pengenalan
Bab 2 Permintaan dan Penawaran
Bab 3 Penggunaan Model Permintaan dan Penawaran
Bab 4 Pilihan Pengguna    
Bab 5 Penggunaan Teori Pengguna
Bab 6 Firma dan Pengeluaran
Bab 7 Kos
Bab 8 Pasaran Persaingan Sempurna
Bab 9 Aplikasi Model Persaingan
Bab 10 Monopoli
Bab 11 Oligopoli dan Monopolistik
Bab 12 Amalan Perletakan Harga
Indeks
Rujukan

Instructors Supplements

Please login to download